Wednesday, October 22, 2008

Saat Kau Hadir Di Langit Cinta



SAAT KAU HADIR

Harga: RM19.90
Penulis: Laila Kamilia
Halaman: 496
ISBN: 978-983-124-402-9


Sinopsis:

BIBIT-BIBIT cinta Eliana dengan Amri berputik sejak mereka sama-sama terlibat dalam aktiviti perkhemahan. Rimbunan kenangan manis bersama-sama Amri menguatkan lagi rasa cinta Eliana. Diri yang selama ini kontang dengan kasih sayang mula diresapi bara asmara, menghangatkan lagi seluruh musim dingin di hatinya.

Entah apa silapnya, sedang asyik dilambung rindu, bermulalah satu episod hitam dalam hidupnya. Amri tiba-tiba menghilangkan diri sekali gus mengubah seluruh cerita cinta yang terlakar. Hatinya jadi rawan.

Tatkala itu, Imran Syakir menghadirkan diri. Jejaka sebelah rumah itu pada awalnya dipandang sinis oleh Eliana. Namun Imran tetap tegar mencelah, menjadikan kehadirannya mula dirasai. Datangnya untuk menyembuh lara hati, memberinya satu pengalaman cinta yang berbeza.

Resam hidup, dugaan akan sentiasa datang menguji ketabahan dan keimanan setiap insan. Tahun berganti tahun... Amri kembali menuntut haknya setelah Eliana dibiar sendirian melalui trauma. Eliana keliru. Kerana Amri, dia hampir gila. Kerana Amri juga, dia hampir menemui ajalnya!

Perlukah dia setia pada janji semalam yang telah berlalu pergi ataupun berpaut pada harapan esok yang belum pasti?


--------------------------------------------------------------------------------


Cinta tidak bererti memiliki. Tetapi cinta juga bukan bermaksud melukai. Bagi Hani, cintanya bersama Raiz rupanya hanya sebuah mimpi. Dia benar-benar kecewa bila ditinggalkan terkapai-kapai mencari haluan sendiri.

“Cinta pertama dengan kau tapi malam pertama dengan Meriam!” Sindiran itu bagai memetir di telinga Hani. Jiwanya hangus terbakar. Maruahnya terasa dipijak-pijak!

Benarkah cuma dia yang setia sedangkan Raiz hanya bijak bermain kata-kata? Dia berusaha memujuk diri melupakan semuanya tentang Raiz. Tapi, batinnya terseksa menanggung rindu mengejar bayang lelaki itu.

Di langit sana... Raiz pula menangisi setiap malamnya di sisi Meriam. Dia menikahi sepupunya itu untuk melunaskan hutang emaknya. Hanya sekali dia menyentuh Meriam. Itulah yang pertama dan terakhir setelah beratus kali Meriam menyindirnya suami dayus dan serba-serbi tidak mampu.

Kasih mereka kasih terhalang, tapi rindu mereka tidak pernah terlarang. Hani dan Raiz dipertemukan semula dalam episod kedua. Janji mereka untuk hidup sebagai suami isteri akhirnya dimaterai dengan ijab kabul tanpa restu keluarga.

Bagaimana dengan Meriam?

Tajuk: Di Langit Cinta
Penulis: Lily Haslina Nasir
Halaman: 512
Harga: RM19.90

1 comment:

LK said...

terima kasih daun keladi