Thursday, December 4, 2008

Banjir

Pejam celik pejam celik dah hampir sebulan blog saya tidak berupdate. Cepatnya masa berjalan....Kenapa tak berupdate? Entahlah...sebenarnya terlalu banyak yang hendak dicoretkan disini tetapi ada sahaja halangannya. Biasanya mood saya yang kebelakangan ini yang tidak menentu mempengaruhi tindakan saya.

Sekarang musim banjir. Kalau ikutkan laporan akhbar, Trg teruk juga di landa banjir dan rasanya lebih teruk dari tahun lepas. Membaca berita banjir di dada akhbar membuatkan saya tersenyum. Seronok bila mengenangkannya.

Mungkin kepada sesetengah orang, banjir satu bencana, satu malapetaka tetapi kepada saya yang masih budak2 masa tu, banjir adalah pesta yang ditunggu-tunggu. Mungkin juga banjir belum pernah meninggalkan kenangan buruk kepada saya, jadi mungkin sebab itu saya tidak pernah memusuhi banjir, malah kedatangannya ditunggu-tunggu dengan tidak sabarnya. Mungkin pengertian banjir berbeza kepada orang yang pernah kehilangan orang yang disayangi ketika banjir dan sudah tentu kedatangan banjir menjadi trauma kepada mereka.

Biasanya saya dan abang saya akan duduk bertinggung di beranda sambil menanti dan berharap air akan naik dengan lebih tinggi lagi. Pernah rumah kami dinaiki air sehingga ke paras pinggang orang dewasa dan sudah tentunya paras leher saya masa itu. Seronoknya!

Mula-mula kami akan tengok dulu air yang banyak macam air sungai tu. Mula-mula air tu rupanya keruh macam teh tarik dan banyak sampah sarap yang dihanyutkan tapi lama kelamaan airnya akan bertukar jernih (taklah jernih macam air paip).Bila air banjir sudah mula jernih, mulalah kami yabedabedu!!!Terjun, berenang dan menyelam. Bestnya!! Biasanya arwah ayah akan tebang pokok pisang untuk dijadikan rakit. Bukan saya dan abang sahaja yang berendam tetapi kawan-kawan yang lain akan turut serta sebab kawasan rumah saya yang agak luas.Lagipun airnya tidak bertakung. Ianya berarus seperti air sungai.

Bila air sudah mula surut, saya sudah susah hati sebabnya tak ada lagi tempat berendam. Dan kerja-kerja pembersihan harus dijalankan bagi membersihkan sampah sarap yang tersangkut dipagar dan juga siput-siput air yang banyak tertinggal di kawasan rumah. Biasanya akan ada juga ikan-ikan puyu, sepat, keli atau haruan yang tersesat atau tertinggal di dalam lopak.Rezeki terpijak. Tak perlu memancing,cuma tangkap guna tangan sahaja.

Mungkin pada orang lain yang tidak pernah melalui pengalaman ini akan merasakan ianya jijik dan mengotorkan tetapi bagi yang pernah mengalaminya sudah tentu tahu erti keseronokannya.