Wednesday, September 9, 2009

Kisah anak-anakku


Ceritera Aqil.


Ini cerita lama. Rasanya kejadian ini berlaku bulan 6 atau 7 hari tu.


Ibu : Kenapa ayah marah-marah?

Aqil : Markah BM abang. Abang dapat 2/10.

Ibu : Kenapa sikit sangat? Apa soalannya?

Aqil : Buat karangan berdasarkan KACANG LUPAKAN KULIT

Ibu : Ok. Dah tu apa yang dapat teruk sangat? Abang buat macam mana?

Aqil : Namaku kacang. Nama kawanku Kulit. Kami berasal dari Ipoh....

Ibu : (Sudah gelak tergolek-golek. Memang betul2 tergolek)


Adoila....nak marah pun tak jadi. Sejak naik darjah 4 ni, itulah pertama kali soalan pereksa atau ujian keluar stail macam tu. Biasanya yang keluar, aku sebuah motosikal, aku sekuntum bunga, aku sebuah buku. Jadi dia pun taram buat karangan ala-ala yang macam tu. Seminggu saya dan suami gelakkan dia. Kalau dia nakal je saya akan panggil, "Mana budak yang namaku kacang, nama kawanku kulit." Atau bila ada yang mengadu pasal dia, saya akan kata, "tak apalah, kan nama dia kacang bla bla bla.." Karangan dia berbunyi lebih kurang begini:


Namaku Kacang. Nama kawanku Kulit. Kami berasal dari Ipoh. Pada suatu hari aku dan kawanku dibawa ke Shah Alam menaiki lori. Aku dan kawanku diletakkan di kedai runcit Ali. Pada suatu hari, datang seorang wanita membeliku. Keesokan harinya aku dibawa oleh wanita itu ke pejabatnya. Ketika wanita itu bersembang dengan kawannya, aku diambil lalu digoncang-goncang kemudian aku dimakan dan kulit di buang ke dalam tong sampah. Aku berpisah dengan kulit.


Ibu : Cikgu kata apa Aqil tulis macam ni?

Aqil : Cikgu cuma kata Aqil...Aqil....


Belum habis sakit perut ketawakan Aqil, Fatnin pulak bawak balik kertas ujian.


Fatnin : Ibu, Bahasa Melayu, Fatnin salah satu je.

Ibu : Iya? Bagusnya...malam nanti suruh ayah belanja makan.

Fatnin : Fatnin dah buat betul tapi cikgu tanda salah.

Ibu : Meh sini, ibu tengok(Baca soalan)


Ali membawa ........ke dalam hutan.

A lampu Jalan

B lampu suluh

C Lampu meja

D Lampu apa ntah dah lupa.


Ibu : Ya ALLAH!! Nin, tahu tak lampu jalan ni apa?

Fatnin : Tahu. Lampu yang kita pegang tu yang kita bawak jalan-jalan tu...

Ibu : SUBHANALLAH!!! Itu lampu suluhlah. Lampu jalan tu, tu yang kat depan rumah kita tu. Tu namanya lampu jalan. Ada ke orang bawak lampu besar gedabak tu masuk hutan?

Fatnin : (Tersengih-sengih) Tak ada. Manalah Fatnin tahu, Fatnin ingatkan lampu jalan tu lampu yang kita bawak jalan-jalan.


Err...Kalau buat "DNA" Berdasarkan cerita taugeh dan cambah, memang sah mereka ni anak-anak saya. Hehehe



UPSR

Rumah saya ni, bukan takat bersawang, entah-entah dah berpenunggu. Lama sangat saya tak jenguk ke sini. Sibuk? Ya juga...tapi apa yang sibuk sangat tu? Entahlah....mss tak siap-siap jugak.

Saya sebenarnya malas nak menulis di sini. Sejak saya cabut tingkap sembang kat rumah ni, mood saya untuk menulis di sini turut sama tercabut dari jiwa saya. Bukan sahaja malas menulis tetapi mood untuk menjenguk disini turut sama terjejas sehingga kadang-kadang saya terlupa terus tentang kewujudan rumah ini.

Semalam, UPSR bermula. Good luck untuk anak-anak yang ambil pereksa tahun ini. Good luck untuk ibu-ibu yang ada anak ambil UPSR. Saya percaya ibu-ibu lagi berdebar dari anak-anak. Semalam, sewaktu melintasi sekolah di kawasan perumahan saya, kebetulan waktu itu pelajar baru sahaja keluar dari kawasan sekolah. Macam-macam riak di wajah masing-masing, ada yang berkerut, ada yang tersenyum, ada yang nampak lega. Ada ibu yang menanti betul-betul di depan pagar sekolah, ada yang berdiri di depan kereta, ada yang memeluk erat anak masing-masing, berpimpingan tangan, namun ada juga yang pulang bersendirian. Untuk tiga hari ini, anak-anak menjadi raja dan ratu, dilayan sesempurna mungkin.

Setiap kali musim UPSR saya terkenang kisah lama. Setiap kali melihat taugeh, saya teringat UPSR pula. Apa kaitannya? hahaha..... Masa saya ambil UPSR dulu, ada soalan yang berbunyi lebih kurang begini... Sila bina ayat menggunakan perkataan berikut; dan salah satunya ialah CAMBAH. Saya betul-betul buntu. Badan sudah berpeluh. Dada sudah berdebar kencang. Hanya satu soalan itu sahaja yang saya belum jawab sehinggalah ke minit-minit akhir, tiba-tiba ting! saya mendapat idea. Binaan ayat saya berbunyi begini : CAMBAH IALAH SEJENIS TAUGEH. Hahaha di Trg, taugeh itu disebut camboh. Beberapa tahun lepas tu baru saya tahu ayat saya tu tak betul. Hehehe tapi saya dapat 5A tau!! Kata suami saya, kesian pemeriksa tu, mesti dah masuk wad sakit jiwa sebab terkejut tengok kertas saya. Kata kawan saya pula, saya dapat markah kesian. Tak kisahlah asalkan saya dapat 5A.

Untuk adik-adik, anak-anak selamat maju jaya!!! Ingat ye, taugeh tu taugeh tau bukannya cambah ye....